Homestay : Peluang Bumiputera di Bidang Pelancongan

Tempat : Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang
Tarikh : 14 - 15 November 2011

Perusahaan homestay atau inap desa merupakan peluang golongan bumiputera di negeri ini untuk terlibat di dalam industri pelancongan. Ini berikutan daripada minat pelancong asing untuk menikmati dan melihat sendiri suasana desa yang terdapat di negara ini. Demikian dinyatakan oleh YB Dato’ Haji Azhar Ibrahim, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Homestay Pulau Pinang 2011 baru-baru ini. Tambah beliau lagi, peluang ini harus direbut oleh pengusaha homestay untuk menawarkan penginapan kepada kumpulan pelancong sebagai alternatif kepada perkhidmatan perhotelan yang ada. Dalam pada itu, YB Dato’ Azhar berkata, kewujudan 200 pengusaha inap desa di negeri ini  telah mejana pendapatan tahunan sebanyak RM362,947 pada tahun lalu meningkat dari RM205,827 pada tahun 2009.

Di majlis yang sama satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara PERDA dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang melibatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam membangunkan industry inap desa dan juga bidang keusahawanan yang lain. PERDA diwakili oleh Encik Saringat Haji Hassan, Pengurus Besar manakala Encik Azmi Abdul Razik, Ketua Pegawai Eksekutif  mewakili YPU. Turut bersama menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman ini selain dari YB Dato’ Haji Azhar ialah YB Dato’ Mohamed Awang Tera, Pengerusi YPU yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Rosul Wahid, Timbalan Pengerusi YPU dan pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua pihak.

No comments:

Post a Comment