Bantuan Pakaian Sekolah : Pemberian Kerajaan Persekutuan Untuk Meringankan Beban Keluarga Miskin

Tempat : Kampung Banggol Pokok Sena S.P.U, Pulau Pinang
Tarikh : 05 Disember 2011

Sebanyak 90 orang pelajar miskin di bawah Parlimen Tasek Gelugor telah menerima bantuan persiapan persekolahan untuk tahun 2012 berupa baju, seluar, kasut, stoking dan beg. Nilai pemberian bantuan kepada setiap seorang pelajar ialah RM100. Penyampaian bantuan persekolahan ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Shabudin Yahaya, Adun Permatang Berangan di satu majlis anjuran JKKKP Pokok Sena.
 
Dalam ucapan, beliau menekankan bahawa pemberian bantuan yang disampaikan ini merupakan tanggungjawab kerajaan persekutuan membantu keluarga yang tidak berkemampuan untuk menyediakan persiapan persekolahan baru kepada anak-anak mereka. Ia selaras dengan dasar kepimpinan negara masa kini yang meletakkan rakyat sebagai satu keutamaan dalam pelaksanaan program pembangunan negara, tambah beliau lagi. “Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak ini, gunakan peluang persekolahan yang diberi oleh Kerajaan ini untuk mengubah kehidupan keluarga masing-masing. Pelajaran merupakan asas untuk meningkatkan potensi diri dan juga membangunkan negara,” nasihat Haji Shabudin kepada para pelajar yang menerima bantuan. Bantuan yang disalurkan kepada para pelajar miskin ini selain daripada peruntukan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), turut ditambah daripada sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor dan JKKKP Pokok Sena.

Program Belia Pewaris Nusa Siri 12 & 13

Tempat : Lang Buana Outdoor Camp, Kuala Kangsar, Perak
Tarikh : 19 & 20 November 2011

Pada 19 dan 20 November 2011, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan kerjasama  Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah mengadakan Program Belia Pewaris Nusa Siri 12 dan 13. Program yang dilaksanakan selama dua hari satu malam ini bertempat di Lang Buana Outdoor Camp, Kuala Kangsar, Perak telah melibatkan seramai 74 orang peserta yang terdiri dari belia dan beliawanis kawasan Bayan Baru. 

Program bertujuan untuk melahirkan individu belia yang bersemangat kental serta berjiwa patriotik serta memahami  susur galur sejarah perjuangan bangsa.  Melalui program yang dilaksanakan selama dua hari satu malam ini peserta-peserta  telah didedahkan dengan cabaran-cabaran dan ancaman yang boleh melemahkan semangat dan jati diri mereka. Peserta juga turut diberi suntikan motivasi dan kata-kata semangat.

Perlaksanaan program pada hari pertama di mulakan dengan aktiviti  Ice Breaking dan Suai Kenal. Ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat dan ikatan persahabatan di kalangan peserta.  Pada malamnya peserta dihidangi dengan sorotan peristiwa-peristiwa bersejarah serta bertafakur bagi memperingati  mereka  yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Hari kedua di sebelah paginya peserta-peserta telah dibawa mengembara merentasi Pulau Raya dan kemudiaanya di bawa berkayak merentasi Sungai Perak. Melalui aktiviti ini  mereka ini  juga telah diuji dari segi ketahanan mental dan fizikal di dalam usaha untuk melahirkan belia yang berketerampilan, berdisiplin dan bersemangat kental.  Program ini telah berakhir pada sebelah petang dengan peserta kumpulan terbaik di anugerahkan pingat dan Piala Belia Pewaris. Program ini juga adalah merupakan harapan PERDA agar belia-belia yang telah diasuh dan dilatih ini dapat menjadi contoh dan “role model”  kepada belia-belia lain di luar sana.

Homestay : Peluang Bumiputera di Bidang Pelancongan

Tempat : Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang
Tarikh : 14 - 15 November 2011

Perusahaan homestay atau inap desa merupakan peluang golongan bumiputera di negeri ini untuk terlibat di dalam industri pelancongan. Ini berikutan daripada minat pelancong asing untuk menikmati dan melihat sendiri suasana desa yang terdapat di negara ini. Demikian dinyatakan oleh YB Dato’ Haji Azhar Ibrahim, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Homestay Pulau Pinang 2011 baru-baru ini. Tambah beliau lagi, peluang ini harus direbut oleh pengusaha homestay untuk menawarkan penginapan kepada kumpulan pelancong sebagai alternatif kepada perkhidmatan perhotelan yang ada. Dalam pada itu, YB Dato’ Azhar berkata, kewujudan 200 pengusaha inap desa di negeri ini  telah mejana pendapatan tahunan sebanyak RM362,947 pada tahun lalu meningkat dari RM205,827 pada tahun 2009.

Di majlis yang sama satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara PERDA dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang melibatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam membangunkan industry inap desa dan juga bidang keusahawanan yang lain. PERDA diwakili oleh Encik Saringat Haji Hassan, Pengurus Besar manakala Encik Azmi Abdul Razik, Ketua Pegawai Eksekutif  mewakili YPU. Turut bersama menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman ini selain dari YB Dato’ Haji Azhar ialah YB Dato’ Mohamed Awang Tera, Pengerusi YPU yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Rosul Wahid, Timbalan Pengerusi YPU dan pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua pihak.

Bengkel Jaya Diri dan Pembinaan Keusahawan Peruncitan

Tempat : Safira Country Club, Seberang Jaya, Pulau Pinang
Tarikh : 12 November 2011

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Islam Malaysia Cawangan Pulau Pinang (DPIM) telah menganjurkan Bengkel Jaya Diri dan Pembinaan Keusahawan Peruncitan khusus untuk membantu golongan bumiputera Islam yang terlibat di dalam perniagaan runcit. Tujuan bengkel ini diadakan untuk memberi maklumat dan penerangan terkini kepada usahawan tentang prospek dan peluang perniagaan yang disediakan dalam bidang peruncitan yang berpotensi untuk diusahakan melalui penggunaan modal yang kecil.
 
Di bengkel tersebut, tiga sesi ceramah disampaikan oleh tiga penceramah jemputan yang terdiri daripada usahawan yang berjaya. Mereka ialah Saiful Helmi Abd. Razak dari Sri Impian Venture, untuk tajuk ‘Potensi Bidang Peruncitan dan Pembangunan Keusahawanan.’ Manakala Ibrahim Yahaya dari Ritz Industries International menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pembinaan Jaringan dan Pengedaran dan Pemasaran.’ Tajuk ceramah ‘Peluang Menambah Pendapatan dan Memanfaat Kemudahan Sedia Ada’ pula disampaikan oleh Amir Zahid Md. Razi dari Three B Mobile Communication.

Bengkel sehari ini dirasmikan oleh Yg. Bhg. Dato’ Seri Mohd Yusuf Latif, Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia Caw. Pulau Pinang. Turut hadir YB Dato’ Hajah Jahara Hamid, Pengerusi Biro Wanita DPIM yang juga Adun Teluk Air Tawar dan Encik Saadin Kadir, Pengurus Bahagian Ekonomi PERDA.

Seminar Pembangunan Homestay, Medan Perkongsian Maklumat Dan Pengalaman Pengusaha

Tempat : Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas dan
                Kampung Mengkuang Titi, Pulau Pinang
Tarikh : 14 - 16 November 2011

Baru-baru ini telah diadakan buat julung kalinya satu seminar berkaitan homestay atau inap desa di negeri ini. Program anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang  (PERDA) ini telah diikuti oleh seramai 62 orang pengusaha homestay di mana 30 daripadanya adalah dari Terengganu.

Seminar ini merupakan satu bentuk medan perkongsian maklumat dan pengalaman oleh pengusaha-pengusaha homestay. Pembentang-pembentang kertas kerja merupakan mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri ini. Antaranya daripada Kampung Mengkuang Titi, Permatang Pauh, Pulau Pinang,Taman Sedia, Cameron Highland, Pahang dan Kampung Sinaran Baru, Johor Baharu, Johor.

Selain daripada pengusaha-pengusaha homestay, pembentang-pembentang kertas kerja daripada agensi-agensi yang membantu membangunkan industri ini, turut berkongsi maklumat dan pengalaman iaitu PERDA, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Felda, dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Selangor.

Sepanjang seminar diadakan para peserta telah melihatkan sikap pro aktif mereka dengan melontarkan persoalan dan isu yang sering berlaku di dalam industri homestay. Segala permasalah tersebut mampu dirungkaikan dengan resolusi yang diperolehi daripada seminar ini. Selepas bermalam di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas para peserta seminar telah di bawa ke Kampung Mengkuang Titi, SPT untuk melihat sendiri salah satu homestay yang terdapat di negeri ini.

Selain menginap di kampung ini, mereka juga di bawa berjalan-jalan sekitar kampung di samping melihat aktiviti atau perusahaan yang ada seperti perusahaan bahulu dan dodol yang menjadi salah satu tarikan pelancong yang diusahakan oleh para penduduk. Jamuan tengahari cara kampung yang disediakan oleh penduduk Kampung Mengkuang Titi, menutup seminar yang diadakan selama tiga hari dua malam ini.

Pembinaan Modul Portal e-Didik PERDA 2012

Tempat : Hotel Putri Park & Hotel Cititel, Kuala Lumpur
Tarikh : 31 Oktober - 03 November 2011

Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bersama Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menganjurkan Bengkel Pembinaan Modul e-Didik PERDA Tahun 2012 dengan kerjasama daripada guru-guru yang pakar di kalangan sekolah bawah Mutiara PDCA  pada 31 Oktober 2011 hingga dan 3 November 2011. Ia telah berlangsung selama 4 hari 3 malam di Hotel Puteri Park dan Hotel Cititel, Kuala Lumpur.

Bengkel ini diadakan bagi menyediakan latihan dan nota untuk dimuatkan dalam Portal e-Didik PERDA  bagi mempelbagaikan latihan kepada para pelajar. Portal e-Didik PERDA  dibangunkan dengan satu matlamat untuk membantu pelajar belajar menerusi on-line tanpa memerlukan buku sebagai rujukan dan sebagai satu alternative pengajaran kepada guru-guru sekolah di bawah Mutiara PDCA. Melalui portal ini, pelajar boleh mencuba menjawab soalan-soalan latihan dan mengulangkaji menggunakan nota-nota yang disediakan. Semuanya boleh dicapai hanya melalui SATU portal! http://edidik.perda.gov.my/

In-TEG (Integriti Remaja) Siri 2

Tempat : Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah
Tarikh : 21 - 23 Oktober 2011


Walaupun Mutiara PDCA tidak melaksanakan tuisyen STPM, pelajar-pelajar STPM masih juga diberi peluang mengikuti Program In-TEG Siri 2 di Kampus Induk Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok Kedah pada 21 hingga 23 Oktober 2011. Pelajar-pelajar ini baru sahaja selesai peperiksaan MUET dan ini sebagai satu cara meransang minda dan membentuk label positif dalam minda. Dengan objektif di atas, diharap pelajar-pelajar ini akan berhijrah dari konflik dalaman dan luaran dan meneguhkan tekad hijrah yang dijanjikan mereka.


Sebanyak 141 orang yang hadir dan mengikutinya merupakan pelajar yang telah hadir dalam Program Jejak Menara yang diadakan pada 22 hingga 24 Julai yang lalu. Mahasiswa UUM telah menjadi fasilitator dalam keseluruhan program ini. Program ini dijangka dapat melahirkan pelajar cemerlang STPM dan mendedahkan pelajar laluan ke universiti dan persediaan awal bagi mereka menyesuaikan diri ketika pembelajaran di universiti.



Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) 2011

Tempat : Sunway Carnival Convention Centre, Pulau Pinang
Tarikh : 02 Oktober 2011

Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) telah mengadakan majlis konvokesyen kali ke tiga pada 2 Oktober 2011 bertempat di Sunway Carnival Convention Centre, Seberang Jaya. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Datuk Abdul Wahab Abdullah, Pengerusi Majlis Penasihat PERDA-TECH. Turut menghadiri majlis ini ialah Tuan Haji Saringat Haji Hassan, Pengurus Besar PERDA.

Seramai 23 orang pelajar lepasan diploma dan 345 orang pelajar lepasan sijil telah menamatkan pelajaran mereka. Pada majlis itu juga, 4 orang pelajar telah memenangi 4 anugerah tertinggi yang telah ditawarkan iaitu Anugerah Emas, Anugerah Pengarah PERDA-TECH, Anugerah Pengurus Besar PERDA dan juga Anugerah Inovasi. 
 
Anugerah Emas iaitu anugerah utama konvokesyen telah dimenangi oleh Nurmala Mas’odi, pelajar kursus Certificate in Manufacturing Engineering (Product Design). Bagi Anugerah Pengarah PERDA-TECH pula telah dimenangi oleh Mohammad Hafizudin Wahab, pelajar Kursus Sijil Kejuruteraan Automotif. Manakala Anugerah Pengurus Besar PERDA telah dimenangi oleh Mohd Faizal Mat Saad, pelajar kursus Sijil Kejuruteraan Kimpalan. Anugerah Inovasi telah dimenangi oleh Muhammad Hasnul Umar Rani, pelajar Certificate in Manufacturing Engineering (Product Design).

In-TEG (Integriti Remaja) Siri 1

Tempat : Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah
Tarikh : 30 September hingga 02 Oktober 2011

“Walaupun penat di UUM, aktiviti yang dijalankan menghilangkan stress yang kami hadapi selepas menghadapi peperiksaan percubaan STPM hari itu.” Itulah perkataan yang diluahkan pelajar STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Empat kepada guru penyelaras sekolah berkenaan.

Pelajar STPM yang terpilih itu adalah salah seorang dari 12 buah sekolah menengah kebangsaan di bawah agensi Mutiara PDCA; Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera (BPPB) Pulau Pinang, Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang dan Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP). Program yang diikuti mereka ialah Program In-TEG (Integriti Remaja) Siri 1 pada 30 September hingga 2 Oktober 2011 di Kampus Induk Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok Kedah.

Program bermalam ini berasaskan motivasi dan kekuatan minda merupakan program latihan yang membolehkan para pelajar menerokai/memahami potensi dan kehebatan diri dan membentuk kecemerlangan diri. Sebanyak 95 orang yang hadir dan mengikutinya adalah terdiri daripada 25 pelajar lelaki dan 70 pelajar perempuan. Selain sekolah yang terlibat di atas, sekolah lain ialah SMK SMK Datuk Haji Abdul Kadir, SMK Penanti, SMK Permatang Rawa, SMK Bakti, SMK Sungai Acheh, SMK Tinggi Bukit Mertajam, SMK Telok Kumbar, SMK Sungai Ara, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SMKA (P) Al-Mashoor dan SM Teknik Seberang Perai.

Persediaan Terakhir Sebelum SPM 2011

Tempat : Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
Tarikh : 01 dan 02 Oktober 2011

Dalam usaha meminimumkan kadar kegagalan Bahasa Melayu SPM pada tahun 2011, PERDA bersama agensi di bawah Mutiara PDCA, telah menganjurkan satu program kepada pelajar SPM iaitu Program Pecutan Akhir Bahasa Melayu SPM pada 1 dan 2 Oktober 2011. Program telah berlangsung selama 2 hari di USM Kampus Kejuruteraan Seri Ampangan Nibong Tebal dan USM Kampus Induk, Pulau Pinang.

Hakikatnya, dalam konteks Mutiara PDCA, program ini mensasarkan kepada pelajar SPM yang lemah dalam Bahasa Melayu. Di dalamnya diberikan tips-tips mendapat markah secara minimum bagi satu-satu soalan dan seterusnya lulus dalam kertas Bahasa Melayu pada tahun ini. Bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan program ini, satu modul telah dibina pada 18 hingga 21 Julai 2011 untuk digunapakai pada kedua-dua hari berkenaan. Kehadiran untuk kedua-dua tempat ialah 577 orang.