Bantuan Pakaian Sekolah : Pemberian Kerajaan Persekutuan Untuk Meringankan Beban Keluarga Miskin

Tempat : Kampung Banggol Pokok Sena S.P.U, Pulau Pinang
Tarikh : 05 Disember 2011

Sebanyak 90 orang pelajar miskin di bawah Parlimen Tasek Gelugor telah menerima bantuan persiapan persekolahan untuk tahun 2012 berupa baju, seluar, kasut, stoking dan beg. Nilai pemberian bantuan kepada setiap seorang pelajar ialah RM100. Penyampaian bantuan persekolahan ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Shabudin Yahaya, Adun Permatang Berangan di satu majlis anjuran JKKKP Pokok Sena.
 
Dalam ucapan, beliau menekankan bahawa pemberian bantuan yang disampaikan ini merupakan tanggungjawab kerajaan persekutuan membantu keluarga yang tidak berkemampuan untuk menyediakan persiapan persekolahan baru kepada anak-anak mereka. Ia selaras dengan dasar kepimpinan negara masa kini yang meletakkan rakyat sebagai satu keutamaan dalam pelaksanaan program pembangunan negara, tambah beliau lagi. “Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak ini, gunakan peluang persekolahan yang diberi oleh Kerajaan ini untuk mengubah kehidupan keluarga masing-masing. Pelajaran merupakan asas untuk meningkatkan potensi diri dan juga membangunkan negara,” nasihat Haji Shabudin kepada para pelajar yang menerima bantuan. Bantuan yang disalurkan kepada para pelajar miskin ini selain daripada peruntukan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), turut ditambah daripada sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor dan JKKKP Pokok Sena.

Program Belia Pewaris Nusa Siri 12 & 13

Tempat : Lang Buana Outdoor Camp, Kuala Kangsar, Perak
Tarikh : 19 & 20 November 2011

Pada 19 dan 20 November 2011, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan kerjasama  Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah mengadakan Program Belia Pewaris Nusa Siri 12 dan 13. Program yang dilaksanakan selama dua hari satu malam ini bertempat di Lang Buana Outdoor Camp, Kuala Kangsar, Perak telah melibatkan seramai 74 orang peserta yang terdiri dari belia dan beliawanis kawasan Bayan Baru. 

Program bertujuan untuk melahirkan individu belia yang bersemangat kental serta berjiwa patriotik serta memahami  susur galur sejarah perjuangan bangsa.  Melalui program yang dilaksanakan selama dua hari satu malam ini peserta-peserta  telah didedahkan dengan cabaran-cabaran dan ancaman yang boleh melemahkan semangat dan jati diri mereka. Peserta juga turut diberi suntikan motivasi dan kata-kata semangat.

Perlaksanaan program pada hari pertama di mulakan dengan aktiviti  Ice Breaking dan Suai Kenal. Ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat dan ikatan persahabatan di kalangan peserta.  Pada malamnya peserta dihidangi dengan sorotan peristiwa-peristiwa bersejarah serta bertafakur bagi memperingati  mereka  yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Hari kedua di sebelah paginya peserta-peserta telah dibawa mengembara merentasi Pulau Raya dan kemudiaanya di bawa berkayak merentasi Sungai Perak. Melalui aktiviti ini  mereka ini  juga telah diuji dari segi ketahanan mental dan fizikal di dalam usaha untuk melahirkan belia yang berketerampilan, berdisiplin dan bersemangat kental.  Program ini telah berakhir pada sebelah petang dengan peserta kumpulan terbaik di anugerahkan pingat dan Piala Belia Pewaris. Program ini juga adalah merupakan harapan PERDA agar belia-belia yang telah diasuh dan dilatih ini dapat menjadi contoh dan “role model”  kepada belia-belia lain di luar sana.

Homestay : Peluang Bumiputera di Bidang Pelancongan

Tempat : Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang
Tarikh : 14 - 15 November 2011

Perusahaan homestay atau inap desa merupakan peluang golongan bumiputera di negeri ini untuk terlibat di dalam industri pelancongan. Ini berikutan daripada minat pelancong asing untuk menikmati dan melihat sendiri suasana desa yang terdapat di negara ini. Demikian dinyatakan oleh YB Dato’ Haji Azhar Ibrahim, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Homestay Pulau Pinang 2011 baru-baru ini. Tambah beliau lagi, peluang ini harus direbut oleh pengusaha homestay untuk menawarkan penginapan kepada kumpulan pelancong sebagai alternatif kepada perkhidmatan perhotelan yang ada. Dalam pada itu, YB Dato’ Azhar berkata, kewujudan 200 pengusaha inap desa di negeri ini  telah mejana pendapatan tahunan sebanyak RM362,947 pada tahun lalu meningkat dari RM205,827 pada tahun 2009.

Di majlis yang sama satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara PERDA dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang melibatkan kerjasama dan hubungan dua hala dalam membangunkan industry inap desa dan juga bidang keusahawanan yang lain. PERDA diwakili oleh Encik Saringat Haji Hassan, Pengurus Besar manakala Encik Azmi Abdul Razik, Ketua Pegawai Eksekutif  mewakili YPU. Turut bersama menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman ini selain dari YB Dato’ Haji Azhar ialah YB Dato’ Mohamed Awang Tera, Pengerusi YPU yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Rosul Wahid, Timbalan Pengerusi YPU dan pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua pihak.